Semadah Kata Pengerusi

Category: Info Published: Wednesday, 22 January 2014 Written by Super User

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan inayahNya, saya telah dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pegawai Penjara.

Mandat Barisan Exco dan para perwakilan diseluruh negara telah berakhir pada 31 Mei 2020 yang lalu. Maka pemilihan baharu perlu dilakukan melalui proses pengundian di seluruh negara. Proses pengudian ini melibatkan semua peringkat anggota bagi menentukan kepimpinan persatuan bagi sesi 2020-2022. Proses pengundian dan perjumlahan undi berjaya dilaksanakan secara demokratik dan selesai sepenuhnya pada 30 Jun 2020. Keputusan pengudian ini menunjukkan hampir 50% perwakilan baharu menyertai saf kepimpinan POA. Ini membuktikan proses transisi kepimpinan berlaku secara amat matang dalam Persatuan Pegawai Penjara. Sinergi di antara kepimpinan lama dan baharu diharap dapat mencorak dan melonjakkan perjuangan persatuan dalam mengangkat agenda “Kebajikan Diutamakan, Organisasi Dimartabatkan”.

Mesyuarat Agung yang dirasmikan oleh YBhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia di Kuala Terengganu pada 23 - 25 Julai 2020 yang lalu telah memberi satu endorsement dan petanda yang jelas bahawa para perwakilan mahukan perubahan dan gandingan kepimpinan lama dan baharu menerajui persatuan. Justeru saya merakamkan ucapan tahniah kepada barisan exco yang berjaya dalam pemilihan dan pengundian pada sesi ini. Mesyuarat Agung pada kali ini juga melakarkan sejarah apabila julung-julung kalinya dibuat pemilihan dan pengundian perwakilan bagi setiap negeri selaras dengan peraturan persatuan. Perwakilan negeri bertaraf exco yang berperanan memastikan keahlian dan kebajikan anggota di peringkat negeri masing-masing diberi perhatian yang serius.

Dengan kepercayaan yang diberikan, saya berjanji akan melaksanakan tanggung jawab yang besar ini dengan penuh amanah. Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak akan dapat melakukannya secara bersendirian. Justeru, dalam memastikan kesinambungan tugas-tugas sedia ada, saya berharap rakan-rakan exco , rakan-rakan sejawatan serta seluruh ahli POA dapat bekerja bersama-sama saya, memberikan sokongan padu dan kerjasama yang erat dalam usaha melonjakkan peranan persatuan ke satu tahap yang lebih baik supaya selari dengan aspirasi YBhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar dalam mentransformasikan Jabatan Sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif.

Setiap kepimpinan POA mempunyai gaya dan stail yang tersendiri apabila menerajui persatuan. Namun, semuanya dilakukan atas satu tujuan dan paksi yang sama, iaitu untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia.

Saya mengalu-alukan apa jua pandangan umum, teguran serta cadangan penambahbaikan demi memartabatkan perkhidmatan koreksional yang telus, dinamik dan progresif. Seluruh ahli POA dipersilakan melayari facebook www.facebook.poa bagi mengemukakan segala pandangan dan permasalahan yang berkaitan dengan kebajikan dan pekerjaan seharian.

Kita perlu melontar sejauhnya budaya surat layang kerana ianya boleh menjatuhkan imej Jabatan dalam perkhidmatan awam. Bahkan boleh menjejaskan segala permohonan jabatan samada elaun, kenaikan gaji dan penambahbaikan skim perkhidmatan. Gunakanlah medium facebook ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan imej jabatan dan persatuan kerana ia boleh dilayari bukan sahaja oleh ahli POA bahkan termasuk orang awam. Maklumat berkaitan dengan persatuan juga boleh diperolehi melalui laman web jabatan www.prison.gov.my.

Saya dan barisan exco akan meneruskan program-program kebajikan yang telah dan sedang dilaksanakan bahkan kami telah menggariskan keutamaan-keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh saya menerajui POA ini. Antaranya adalah:
 Penambahbaikan Peraturan Persatuan Pegawai Penjara agar selari dengan perkembangan dan inisiatif yang diambil oleh POA.
 Mensejajarkan Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM 150.00 kepada RM 200.00 sebulan seperti agensi penguatkuasa yang lain. Engagement dengan Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam telah diadakan termasuk lawatan ke Penjara Kajang pada 27 Februari 2020 dan perbincangan lanjut pada 5 Mac 2020. Terkini pertemuan bersama KDN dan JPA pada 10-12 Ogos 2020 di Pulau Pinang. Manakala bagi anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan di pusat-pusat latihan bayaran elaun secara pro-rata telah diperjelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 Tahun 2019.
 Kelulusan Khas untuk membolehkan anggota menerima Bayaran Elaun Lebih Masa
 Pemanjangan elaun pemandu selari dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2019 dengan kadar maksima RM 150.00 sebulan.  Permohonan Elaun Pakaian Pegawai Kanan telah diperincikan dengan Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan akan diselaraskan dengan badan beruniform yang lain.
 Pemanjangan Bayaran Insentif Pasukan Khas kepada Trup Tindakan Cepat Jabatan (TTC).

Pihak Persatuan juga mengambil pendekatan mengadakan beberapa pertemuan antaranya dengan pihak Menteri Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan bagi menyampaikan hasrat seluruh anggota penjara. Antara isu-isu yang diangkat dalam setiap pertemuan adalah berkaitan dengan permohonan jabatan seperti:
 Penambahbaikan Peraturan Persatuan Pegawai Penjara.
 Bayaran Insentif Pengawasan Banduan disejajarkan
 Kelulusan khas untuk Bayaran Elaun Lebih Masa kepada anggota penjara
 Geran khusus untuk persatuan bagi memperkasakan aktiviti kebajikan kepada ahli
 Kebajikan anggota yang didakwa dan dibicarakan di mahkamah asbab menjalankan tugas.

Dalam aspek engagement ini POA tidak keseorangan, di mana Pengurusan Tertinggi Jabatan terutama YBhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia dalam setiap pertemuan dengan pihak Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Pegawai Atasan JPA dan yang terkini pertemuan dengan YBhg. Tan Sri Mohd. Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara pada 13 Februari 2020 turut diutarakan berkaitan Bayaran Insentif dan elaun serta aspek kebajikan anggota penjara secara keseluruhannya.

Kita semua sedar, sesungguhnya kehendak dan ekspektasi ahli sangat tinggi dan cabaran masa hadapan semakin kompetitif dan getir. Dengan sokongan serta kerjasama yang erat, kita akan terus melangkah dengan lebih yakin dalam usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaan serta kelancaran program-program Jabatan. Marilah kita sama-sama bersatu melaksanakan tugas, melunaskan tanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan visi dan misi Jabatan tercapai dan penyampaian perkhidmatan koreksional kepada rakyat terus diperkasakan.

Kolaborasi strategik dengan persatuan-persatuan di bawah Kementerian juga dilaksanakan bagi melihat dan berkongsi pengalaman dalam mentuntaskan pelaksanaan aspek kebajikan kepada anggota. Pada 17 Januari 2020 satu mesyuarat Pengerusi-Pengerusi Persatuan di bawah Kementerian diadakan bertempat di Muzium Penjara Malaysia, Melaka. Resolusi mesyuarat tersebut memutuskan segala permohonan persatuan akan diangkat kepada Presiden Cuepacs untuk di bawa dalam Mesyuarat Bersama Kerajaan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Presiden Cuepacs. Usaha ini diharapkan dapat merubah sedikit sebanyak lanskap kebajikan anggota, menguatkan momentum gelombang rayuan yang selama ini kita bersendirian mengangkat isu-isu kebajikan anggota kepada pihak kerajaan.

Oleh itu, saya menyeru setiap anggota penjara agar bersatu teguh serta memperkukuhkan saf dalam mendepani segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Namun demikian, suka saya mengingatkan, dalam apa jua perkara yang dilakukan, jangan sesekali dibelakangkan aspek integriti. Sifat integriti akan terus menjadi teras jati diri kita semua. Lakukanlah setiap tugas yang diamanahkan dengan niat yang betul kerana ia akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.

Bersatu teguh, bercerai roboh.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Ayuh, bersatulah kita demi Jabatan tercinta.
Bismillahi tawakkaltu alaLLah
Faiza azamta fa tawakkal alaLLah
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Sekian, terima kasih.

TKP ZAIDI BIN HAMID

Hits: 8021